FELDA - Akibat DEGIL


Mahkamah perintah Felda bayar peserta RM11 juta

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Felda membayar RM11 juta sebagai ganti rugi kepada 354 peserta Felda berhubung bayaran bagi buah kelapa sawit selama enam tahun selepas menolak rayuan.

Hakim-hakim Datuk James Foong Cheng Yuen, Abdull Hamid Embong dan Datuk Abdul Malik Ishak menolak rayuan itu dalam keputusan majoriti 21, dengan Abdul Malik menentang.

Felda memohon mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang disampaikan pada 13 Jan tahun lepas memerintahkan lembaga itu membayar RM7.8 juta dengan faedah kepada peserta itu selepas peguamnya gagal hadir untuk pendengaran saman itu.

Amaun berkenaan sejak itu telah meningkat ke RM11 juta dengan faedah terkumpul tetapi peserta tidak lagi mendapat wang itu oleh kerana mahkamah meluluskan permohonan Felda bagi penangguhan pembayaran bergantung pada permohonan lembaga itu bagi kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Ketika meluluskan penangguhan, mahkamah memerintahkan amaun itu kekal dalam akaun bersama di bawah nama peguam cara keduadua pihak.

Kira-kira 200 peserta berada di mahkamah hari ini. Sesetengah mereka dilihat menadah tangan sebagai tanda kesyukuran bila keputusan dibacakan.

Mahkamah diberitahu bahawa setiap peserta akan dibayar pampasan RM30,000.

Peserta Felda Kemahang 3 di Tanah Merah, Kelantan, mengemukakan saman itu terhadap Felda pada 2002 dengan setiap seorang memohon antara RM20,000 hingga RM30,000 sebagai ganti rugi umum oleh kerana mereka mendakwa lembaga itu telah menurunkan mutu buah kelapa sawit mereka dari 1996 hingga 2002 mengakibatkan mereka rugi.

Sunil Abraham, peguam bagi Felda dan Felda Palm Industries Sdn Bhd, memberitahu mahkamah beliau akan mengemukakan permohonan kebenaran itu pada Isnin.

Foong turut menyentuh dakwaan peserta bahawa ketua Umno Kelantan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed dan Felda mengugut peserta bahawa mereka akan disingkirkan jika terus bertindak terhadap Felda.

"Felda, ialah sebuah badan berkanun. Ia membantu peserta untuk menambah baik taraf hidup mereka. Sebaliknya, di sini kita berdepan satu situasi defendan pertama (Felda) menipu plaintif (peserta).

"Ugutan sedemikian menjejas Felda. Felda Palm Industries Sdn Bhd tidak lebih baik oleh kerana mereka dikaitkan dengan atau sebahagian dari Felda," katanya.

Abdul Malik, dalam pada itu, memutuskan agar kes itu dirujuk kembali ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula kerana hakim Mahkamah Tinggi telah melanggar peraturan berhubung penerimaan bukti bila beliau mencapai pendapat yang memihak kepada peserta.

"Tidak ada bukti dokumen di hadapan hakim yang arif Mahkamah Tinggi untuk menyokong kerugian sebenar atau anggaran kerugian ditanggung setiap plaintif (peserta)," katanya.BERNAMA

0 comments:

Post a Comment