KriSIS GulA

F&N mungkin terpaksa lepas beban kos kepada pengguna

KUALA LUMPUR 21 Jan. - Fraser & Neave Holdings Bhd. (F&N) hari ini memberi jaminan akan mengekalkan harga produk-produknya sehingga habis musim perayaan Tahun Baru Cina meskipun harga gula akan dinaikkan mulai 1 Februari ini.

F&N berkata, pihaknya juga akan bertindak mempertahankan harga semasa sekiranya ia mampu melonjakkan jumlah jualan produk-produknya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Ang Meng berkata, F&N tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barang kerana memahami kedudukan kewangan para pengguna di Malaysia.

''Sebab itu, salah satu cara untuk menyerap kenaikan harga gula adalah meningkatkan jumlah jualan sekurang-kurangnya lima peratus bagi produk tenusu dan dua digit untuk minuman ringan,'' katanya ketika ditemui selepas mesyuarat agung tahunannya di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan anggaran yang dibuat, F&N perlu membelanjakan sebanyak RM2 juta sebulan untuk menanggung kenaikan harga gula.

Namun begitu, kata beliau, syarikat itu masih belum membuat sebarang unjuran kenaikan harga sehinggalah keadaan menjadi betul-betul mendesak untuk berbuat demikian.

Ang Meng menyifatkan F&N mengambil langkah yang tepat apabila memperkenalkan produk kurang manis lima tahun lalu, sekali gus mengurangkan beban syarikat dengan kenaikan gula.

Kini, katanya, F&N menawarkan produk-produk tertentu yang kandungan gulanya kurang 7.5 peratus.

Ditanya tentang prospek perniagaannya tahun ini, Ang Meng optimis pemulihan ekonomi global akan terus membantu merancakkan perniagaan makanan dan minuman di Malaysia.

Meskipun begitu, beliau berkata, kesan positif itu dikekang pula dengan kenaikan pelbagai komoditi yang dijangka menjejaskan kos operasi syarikat sepertinya.

''Sejak ekonomi dalam proses pemulihan, kita sudah mula merasai kenaikan harga aluminium, plastik, gula, minyak dan gas.

''Kita khuatir kenaikan harga komoditi ini akan menyebabkan syarikat terpaksa melepaskannya kepada pengguna.

''F&N mungkin mampu bertahan jika hanya gula yang naik, tetapi sekiranya harga aluminium dan plastik yang digunakan untuk pembungkusannya juga naik, kos pengangkutan meningkat disebabkan kenaikan minyak dan tol, bagaimana kita boleh bertahan?'' jelas beliau.

Diminta mengulas mengenai penamatan perjanjiannya dengan Coca-Cola menjelang September 2011, Ang Meng berkata, pihaknya mempunyai rancangan lain tetapi enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya, beliau memberitahu, F&N akan melancarkan 50 produk baru sepanjang tempoh dua tahun ini.

''Produk-produk baru ini penting untuk memberi kelainan kepada jenama F&N,'' ujarnya.

Pada masa yang sama, syarikat itu juga bakal melaksanakan program inovasi dan perubahan bagi label, pembungkusan dan fungsi kepada produk-produknya.

Berita Harian Online 22/1/10

0 comments:

Post a Comment