Makna ' 'Korban AdiL ADHA'

Maksud korban, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi Ismail.

Korban binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah SWT, apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang berlangsung.

Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wuduk serta tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah kerana ibadatnya bercampur dengan maksiat kepada Allah.

Begitulah dengan ketegasan Allah SWT yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud : Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu, sekali-kali tidak mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.

Jelas dari apa yang ditegaskan Allah dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima dari mereka yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Dalam ayat 27 surah al-Maidah pula Allah berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

Persoalan di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh dikategorikan sebagai bertakwa kepada Allah?.

Sepatutnya mereka perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota yang tidak peka amalan serta ajaran agama.

Tetapi apakah sebenarnya takwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?

Takwa seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib ialah : Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan al-Quran, reda dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah.

Takwa juga menurut sebahagian ulama’ ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan melaksanakan segala tuntutan agama Allah SWT.

Selanjutnya, sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah melainkan dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan dalam ilmu Usul Fiqh.

Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan dengan rasa rendah diri kepada Allah dan menerusi kemantapan ilmu yang diwariskan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan :

1- Tidak memakai seluar pendek.

2- Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.

3- Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.

4- Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher binatang sembelihan.

5- Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto, Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain bolasepak yang beragama Kristian dan sebagainya.

Apa yang penting, hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim ke atas anaknya Nabi ismail sebagai iktibar berguna meniti jalan takwa kepada Allah. - lanh

Diambil dari SINI

0 comments:

Post a Comment